Monday, November 29, 2010

Monday, November 22, 2010

SELAMAT DATANG KEPADA SISWA & SISWI BARU SESI NOVEMBER 2010/2011


<





21 November 2010, Selamat datang diucapkan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi baru bagi pengambilan kedua sesi November 2010/2011 Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Pada tarikh tersebut seramai 32 orang pelajar muslimin & muslimat telah mendaftar masuk ke (KIAS) yang terdiri daripada 18 pelajar muslimin dan 14 orang pelajar muslimat. Suatu pertemuan telah dibuat oleh pihak pentadbiran kolej bersama pelajar baru serta ibubapa telah dibuat di Dewan Kuliah 1 yang bertujuan untuk menyambut dan beramah mesra dengan pelajar-pelajar baru bersama ibubapa mereka serta memberi taklimat tentang sistem pembelajaran di KIAS dan perkara – perkara yang berkaitan dengan kolej.
Pihak Persatuan Mahasiswa Kias atau (PMKIAS) juga telah mengadakan suatu pertemuan khas dengan pelajar-pelajar baru pada sebelah malamnya yang bertujuan untuk memberi pengenalan kepada pelajar-pelajar baru tentang (PMKIAS) yang merupakan sebuah persatuan induk di kampus KIAS yang menjadi tapak pergerakan mahasiswa KIAS untuk melakukan aktiviti berpersatuan dan juga berfungsi sebagai saluran kepada semua mahasiswa KIAS untuk berhubung dengan pihak pentadbiran kolej tentang masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka serta cadangan-cadangan yang bermanfaat lagi bernas kepada pihak pentadbiran kolej. Pertemuan itu diakhiri dengan ucapan penutup Presiden PMKIAS agar semua mahasiswa dan mahasiswi baru supaya mempunyai kesungguhan dalam menuntut ilmu dan sentiasa menjaga “BIAH SOLEHAH” di bumi KIAS ini agar terus berkekalan.

Friday, August 20, 2010

Gegar Hari Terbuka Kias 2010( HITEK 10)





Kota Bharu, 30Julai: Terpahat satu sejarah yang tidak dapat dilupakan oleh warga KIAS dan masyarakat sekitarnya apabila Persatuan Mahasiswa Kias sesi 2010 (PMKIAS 10) dengan kerjasama pihak pentadbiran KIAS julung kalinya telah mengadakan Hari Terbuka Kias 2010 (HITEK 10) dengan jayanya yang bersempena dengan majlis konvokesyen mahasiswa dan mahasiswi yang telah tamat pengajiannya di bumi KIAS. Hari terbuka ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Bin Daud yang merupakan Pengerusi Kias Darul Naim Sdn. Bhd pada hari kedua HITEK 10 berlangsung. Hari Terbuka Kias 2010 yang diadakan selama lima hari itu telah digegarkan dan dimeriahkan oleh pelbagai acara dan pertandingan menarik seperti pertandingan bola sepak antara IPT Kelantan, pertandingan bola tampar,pertandingan pingpong,badminton,pertandingan nasyid peringkat sekolah,hafazan ,tilawah dan sukan rakyat seperti acara tarik tali,teropoh gergasi, boxing batang pinang dan juga tidak ketinggalan kepada anak-anak kecil dipertandingkan mencari si cilik pintar,bercerita,nasyid kanak-kanak,rebut coklat,rebut kerusi dan macam-macam lagi acara lain yang turut dipertandingkan. Berbagai-bagai gerai pameran telah turut serta dalam menjayakan HITEK 10 antaranya gerai pameran Misi Cakno Palestin, pameran halal oleh JAHEIK , pameran kelab-kelab jabatan seperti Nadi Al-Syariah (NAS), Kelab Falak Syar’ie dan banyak lagi. Tidak lupa juga kepada penggerai-penggerai sentiasa sibuk melayan pembeli dengan kerenah dan gelagat masing-masing. Pengisian-pengisian ceramah yang menarik turut diselitkan pada sebelah malamnya antaranya ceramah Ibubapa Moden, Diskusi Pengurusan Cinta dan Falak Syar’ie yang menampilkan penceramah yang berpengalaman dan berbakat. Malam kemuncak HITEK 10 diserikan dengan konsert amal palestin bersama “Abah” dan artis jemputan iaitu saudara Mu’adz Zulkifli dengan lagunya yang bersemangat membangkitkan jiwa-jiwa supaya sensitif terhadap isu palestin , sajak palestin ,pantomen. Sekalung tahniah dan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah banyak mencurahkan segala usaha dalam merealisasikan berjayanya hari terbuka tersebut. “MAHASISWA ISLAM PENCETUS TRANSFORMASI MASYARAKAT”

Wednesday, August 18, 2010

Pulangnya Seorang Srikandi Mujahidah



Pasir Mas : 12 Ogos yang lalu suatu kejadian nahas jalan raya telah berlaku pada hari tersebut yang mana kemalangan tersebut telah meragut nyawa seorang mahasiswi KIAS yang juga merupakan Mantan Timbalan Pengerusi Lajnah Kebajikan & Keselamatan (KBK) sesi 2009 iaitu saudari Noor Hidayah binti Ibrahim .Beliau juga baru sahaja menamatkan pengajiannya di bumi KIAS dan akan menyambung pengajiannya ke Aceh Indonesia tak lama lagi. Kemalangan tersebut dikatakan berlaku apabila kereta mangsa terbabas ke bahu jalan dan telah merempuh sebatang pokok yang mengakibatkan kecederaan parah pada muka dan leher mangsa ketika perjalanan pulang ke rumahnya dan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian. Jenazah mangsa telah disembahyangkan pada pukul sebelas pagi keesokan harinya dan dikebumikan di tanah perkuburan yang berhampiran iaitu di Kampung Galok dengan diiringi oleh Dato Dr. Johari bin Mat ( Ketua Eksekutif KIAS) sendiri dan juga rakan taulan yang terkejut dan turut bersedih di atas pemergian beliau. Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa ,mudah-mudahan dia ditempatkan dikalangan orang-orang yang mendapat keredhaan dan kasih sayang daripada Allah s.w.t..Al-Fatihah buatnya..

Tuesday, August 17, 2010

Ceramah Ambang Ramadhan




Memandangkan bulan Ramadhan semakin hampir ,baru-baru ini Persatuan Mahasiswa Kias 10 (PMKIAS 10) di bawah Lajnah Usrah & Ta’mir Masjid telah menjemput seorang ustaz iaitu Ustaz Azariza bagi memberi kefahaman dan penjelasan kepada mahasiswa dan mahasisiwi KIAS yang bertujuan untuk memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang ibadah puasa dan perkara yang berkaitan dengan ibadah-ibadah lain di bulan Ramadhan di masjid Kampung Laut iaitu masjid bersejarah yang berusia kira-kira lebih lima ratus tahun. Ceramah yang disampaikan itu meriah apabila ramai mahasiswa dan mahasiswi yang hadir ke sana dan ia juga dihangatkan lagi dengan lontaran-lontaran soalan yang dikemukakan daripada mahasiswa kepada penceramah yang diundang. Ceramah itu berakhir kira-kira pada jam 10.00 malam yang diserikan lagi dengan sedikit jamuan roti canai.

Saturday, July 10, 2010

Duta-duta Kecil PMKIAS Terus Mara

TANAH MERAH: Hujung minggu ini menyaksikan pergerakan barisan fasilitator terus bergerak rancak. Pada 8 & 9 Julai kali ini para fasilitator bahawa naugan PMKIAS telah dijemput ke program Kem Kecemerlangan Pendidikan Solat 2010 di Sek. Ren. Ugama (A) Darul Ulum, Padang Siam, Tanah Merah, Kelantan anjuran Halaqah Dakwah Tanah Merah. Para fasilitator yang pernah disifatkan oleh Presiden PMKIAS sebagai duta-duta kecil PMKIAS bahkan juga turut membawa nama KIAS sebenarnya telah bergerak aktif sejak awal tahun lalu lagi yang mencakupi pelbagai jenis jemputan sekolah antaranya SMU(A) Yaakubiah Nipah, SMKA Tanggok, dan banyak lagi hatta melangkaui sempadan negeri Kelantan yang diletakkan seliaannya di bawah Kelab Fasilitator dengan pemantauan Lajnah Penerangan & Perhubungan Luar PMKIAS yang kini Pengerusinya ialah Al-Akh Nik Muhammad Nik Par.

Pengerusi Lajnah Penerangan & Perhubungan Luar (PHL)

Sebahagian fasilitator bergambar bersama Ust Azmi (S/U Dakwah Halaqah Tanah Merah)


Jom!! Bina Jati Diri Al-Quran Bersama MAQ'10


*MASUK PERCUMA

Sunday, July 4, 2010

Jom Sertai Ceramah "Couple Sebelum Kahwin"

CERAMAH SEMPENA BIAH SOLEHAH

"COUPLE SEBELUM KAHWIN"

OLEH:


UST BORHANUDDIN BIN AHMAD

(PENGERUSI MARKAS SISWAZAH KELANTAN)

TARIKH:

5 JULAI 2010

MASA:

9.00 MALAM

TEMPAT:

QAAH TOK KENALI,KIAS, NILAM PURI,

KOTA BHARU, KEL.

Pimpinan PMKIAS ke Padang Bola

Kota Bharu: 31 Jun 2010 menyaksikan pimpinan PMKIAS yang diketua oleh Presiden PMKIAS sendiri beserta beberapa orang pimpinan yang lain telah turun padang menjengah sendiri aktiviti di padang bola sepak petang itu. Aktiviti perlawanan petang itu sempena pemilihan wakil ke Kejohanan Bola Sepak Peringkat IPTA/S sempena Hari Terbuka Kampus KIAS 2010 yang dijangka akan bermula 30 Julai 2010 nanti. Sesi pemilihan tersebut telah dihadiri kira-kira hampir 70 orang mahasiswa.
Antara intipati yang ditekankan oleh Presiden PMKIAS dalam ucapannya petang itu adalah mengingatkan mahasiswa akan kepentingan jasmani bagi seorang daie disamping beriadah juga merupaka salah satu wasilah untuk mahasiswa beribadat dengan lebih baik kepada Allah SWT selain turut menghubungrapatkan ukhwwah sesama mahasiswa.

Sesi memanaskan badan


Antara para penonton yang kelihatan


Aksi di tengah padang

Amanat daripada Timb.Presiden PMKIAS


Presiden PMKIAS sedang memberikan taujihat

Kuliah Khas Israk Mikraj

Kota Bharu: 29 Jun lalu Kuliah Khas Israk Mikraj bertepatan dengan sempena program Sepenggal Biah Solehah anjuran Lajnah Amar Ma'ruf Nahi Mungkar telah diadakan di Masjid Kampung Laut. Kuliah khas tersebut telah disampaikan oleh Ust Asri Md Daud, Ketua Jabatan Kewangan Islam. Beliau yang sememangnya aktif menyampaikan ceramah-ceramah agama di sekitar negeri Kelantan ini telah menekankan dan menggariskan beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh mahasiswa. Antaranya ialah:

1.Belajarlah kerana Allah.
2.Sentiasalah berusaha untuk menjadi ulama' rabbani.
3.Memelihara solat dan amalan sunat.
4.Mengamalkan sunnah Nabi SAW dari sekecil-kecil sunnah hingga sebesar-besar sunnah.
5.Mahasiswa mesti mengambil peranan dalam usaha mempertahankan Baitul Maqdis.


Ust Asri Md Daud


Antara yang hadir


Tuesday, June 29, 2010

SMEXA'10 Memacu Kecemerlangan

Kota Bharu: Student Motivation And Excellent Award 2010 (SMEXA'10) di bawah seliaan lajnah Akademik & Penerbitan (AKP) PMKIAS telah berjaya melakar rentak sejarahnya tersendiri. Program yang bermula seawal pukul 10.30 pagi itu dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Sdr. Amin Idris itu telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada para peserta KIAS dan beberapa buah IPTS lain sekitar negeri Kelantan. YBrs Dr. Idris bin Awang, Timb. Ketua Eksekutif KIAS telah merasmikan majlis tersebut dan seterusnya menyampaikan anugerah kepada kira-kira 53 mahasiswa terpilih. Program yang berlangsung pada 28 Jun 2010 itu turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan para pensyarah KIAS sendiri.

Thursday, June 24, 2010

Gerak Kerja Hari Terbuka KIAS 2010 (HITEK KIAS) Rancak

Kota Bharu: 22 Jun 2010 menyaksikan mesyuarat kali ketiga Jawatankuasa Badan Eksekutif Pelaksana HITEK KIAS berjalan dengan rancaknya. Gerak kerja awal yang bermula kira-kira lebih 3 minggu lalu ini dilihat semakin giat diusahajayakan. HITEK KIAS ini adalah antara program mega yang saban tahun dilaksanakan bersempena konvokesyen para penuntut KIAS yang tamat pengajian. Program anjuran Persatuan Mahasiswa KIAS (PMKIAS) dengan kerjasama pihak pentadbiran KIAS ini juga boleh dikatakan sebagai kemuncak bagi kayu ukur menilai prestasi persatuan. Menurut Pengerusi HITEK, Ust Ilias Ahmad lagi HITEK KIAS sebenarnya adalah program mahasiswa sendiri yang sejarah awalnya ideal program tersebut adalah canangan mahasiswa sendiri yang tidak lain tidak bukan adalah bertujuan untuk memasyarakatkan mahasiswa, menghubungrapatkan KIAS dengan semua pihak dan peringkat lapisan masyarakat di samping mencungkil dan melatih bakat-bakat kepimpinan serta pengurusan mahasiswa. HITEK KIAS yang dijangka akan berlangsung pada 30 Julai 2010 ini dijangka akan tamat pada 3 Ogos 2010 iaitu selama 5 hari dengan pelbagai aktiviti yang menarik.
Sekitar sesi penyerahan tugas

Sebahagian daripada penggerak program


Al-Akh Mohd Ameen Asri (Pengarah Eksekutif program merangkap S/U Agung PMKIAS) sedang memberi taklimat

Tuesday, June 22, 2010

Jom!!! Ayuh sertai SMEXA'10

**Terbuka kepada semua mahasiswa mana-mana IPTS atau IPTA

Monday, June 21, 2010

PMKIAS Hantar Sukarelawan ke Pesta Buku Islam Antarabangsa 2010

Kota Bharu: Persatuan Mahasiswa KIAS (PMKIAS) telah menghantar sekurang-kurangnya 3 orang sukarelawan bagi membantu melicinkan tugasan di Pesta Buku Islam Antarabangsa Kelantan Kedua yang bertempat di Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu Kelantan. Sukarelawan yang dihantar adalah bertugas di bawah nama Alfa Event & Entertaiment Sdn Bhd yang merupakan salah satu daripada 3 penaja program tersebut. Pesta buku tersebut dijadualkan bermula 18 Jun 2010 dan dijangka tamat pada petang 22 Jun 2010. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YB Dr. Fadzli yang merupakan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan. Pelbagai bentuk aktiviti telah diaturkan pihak penganjur bagi memeriahkan lagi pesta buku tersebut.





Saturday, June 19, 2010

MUI'10 Mengangkasakan Ukhwah Islamiah

Kota Bharu: Minggu Ukhwah Islamiah 2010 (MUI'10) bersempena menyambut kehadiran mahasiswa KIAS yang baru telah berlangsung dengan jayanya selama 4 hari bermula 13 Jun hingga 16 Jun 2010. Persediaan awal seminggu sebelum itu menzahirkan kesungguhan pimpinan PMKIAS bersiap sedia untuk menerima ahli keluarga baru KIAS.
MUI'10 ini telah dilengkapkan dengan pelbagai slot yang penting sebagai asas panduan kepada mahasiswa bagi memudahkan segala urusan mereka sepanjang tempoh pengajian mereka di KIAS. Antara slot tambahan yang menarik ialah Ceramah Palestin yang disampaikan oleh Sheikh Mukmin daripada Palestin hasil kerjasama dengan Misi Cakna Palestin. Turut diadakan adalah Ceramah AADK, Forum dan banyak lagi. MUI kali ini juga menyaksikan kehadiran hampir 300 orang penuntut baru yang hadir dari pelbagai negeri dan negara.



Sunday, June 6, 2010

PMKIAS Terima Kunjungan dari Negeri Jelapang Padi


Kira-kira jam 9 pagi ini, 6 Jun 2010 PMKIAS sekali lagi menyambut kunjungan rombongan daripada negeri Jepalang Padi. Rombongan daripada SMK Sg. Layar, Sg. Petani, Kedah itu tiba bersama 2 buah bas yang kira-kira lebih 80 orang semuanya termasuk beberapa orang guru pengiring.

Menurut Ust Mahizan Mat Lazim yang merupakan ketua rombongan, penglibatan pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan 1 dan 2 adalah sebagai asas permulaan pendedahan awal kepada para pelajar khusus dalam membiasakan pelajar dalam bidang pengajian bahasa Arab memandangkan sekolah SMK Sg. Layar akan membuka kelas Bahasa Arab tahun hadapan.
Seharusnya tindakan proaktif ini patut dipuji dan dicontohi sekolah-sekolah lain. Rombongan yang tiba di Tanah Serendah Sekebun Bunga ini kira-kira subuh ini juga dan bersolat subuh di masjid Kubang Kerian. Rombongan ini telah memilih Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) sebagai destinasi utama mereka di negeri Tadahan Wahyu ini. Ketibaan mereka telah disambut oleh Ust Faizol b. Hussin (Peg.Publisiti & Perhubungan KIAS), Al-Akh Khairul Anam Razali (Presiden PMKIAS) dan beberapa orang pimpinan PMKIAS.

Majlis ringkas menyambut kehadiran rombongan dimulakan dengan ucapan aluan oleh Presiden PMKIAS, Ust Mahizan selaku ketua rombongan dan akhirnya Ust Faizol memberikan taklimat berkaitan KIAS. Seusai jamuan, rombongan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri dan menyentuh binaan bersejarah Masjid Kampung Laut yang berusia lebih 300 tahun. Rombongan kemudiannya berangkat untuk ke destinasi seterusnya kira-kira sekitar lewat 11.00 pagi.

Saturday, June 5, 2010

Menerima Kunjungan Maahad Tahfiz Negeri Pahang

29 Mei 2010 lalu bertepatan pada hari sabtu, pimpinan PMKIAS yang diketuai Presiden PMKIAS sendiri telah menerima kunjungan hormat rombongan daripada Maahad Tahfiz Negeri Pahang. Rombongan yang kira-kira berkapasiti lebih 40 orang itu tiba di bumi KIAS sekitar pukul 12.00 tengahari bersama sebuah bas dan 2 buah kereta.

Kira-kira jam 12.30 tengahari sesi taklimat dan ucapan aluan telah dimulakan oleh Presiden PMKIAS, disusuli ucapan daripada wakil rombongan iaitu Ust Zuhaidi Abd Rahman (Pen.Pengarah Akademik & Diploma Maahad Tahfiz Negeri Pahang). Seterusnya Dr.Lokman b. Ibrahim, Ketua Jabatan Al-Quran & Hadith mewakili pihak pentadbiran menyampaikan ucapan dan sedikit taklimat. Kemuncaknya diakhiri dengan sesi dialog dua hala.

Rombongan itu berangkat pulang ke destinasi berikutnya kira-kira jam 2.30 petang sesusai solat Zohor & jamuan tengahari. Sesi bertukar cenderahati


Ust Zuhaidi Abd Rahman

Usrah: Tapak Luncur Tarbiah Islamiyyah

Alhamdulillah.. masih diberi kesempatan untuk berkongsi sedikit Pencarian. perkongsian untuk kali ini saya mahu bincangkan mengenai USRAH.. apa itu USRAH ya?? ia adalah daripada perkataan Arab.. yang bermaksud.. KELUARGA.. dalam Inggeris pulak Family..hehe yang mana merupakan satu kumpulan individu muslim yang beriman kepada Allah SWT, berusaha untuk tolong menolong sesama mereka yang memahami ajaran Islam dan melaksanakan Amal Islami sebagai menyahut seruan Allah SWT.

Jika kita perhatikan, tidak ramai yang memahami bahawa Usrah ini satu kepentingan dalam Tarbiyah Islamiyah. Apa yang pasti, ia adalah komponen asas dan nadi dalam perjuangan Islam. Tanpa Usrah lunturlah komitmen dan semangat Cintakan Islam di kalangan Individu muslim. Usrah bukan sahaja medan Ilmu semata-mata malahan ia merangkumi proses pentarbiyahan individu yang berperanan besar dalam membentuk acuan peribadi muslim yang sebenar sebagai hamba dan khalifah Allah SWT.

Imam Hassan Al-banna menggariskan 3 Rukun USRAH sebagai panduan. Pertamanya Taaruf, perkenalan dan berkasih sayang dengan semangat cintakan agama Allah.

Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW yang beerti
" orang muslim ialah saudara muslim bagi muslim yang lain, ia tidak menzaliminya dan membiarkannya."

Kedua, Tafahum. iaitu saling bersefahaman sesama ahli Usrah dalam beramal dan bertidak terhadap sesuatu perkara apabila wujudnya persefahaman maka segala nasihat-mensihati perkara yang baik akan membuahkan kasih sayang antara ahli usrah dan perasaan shak wasangka hilang serta hasad dengki akan terhindar.
Ketiga, Takaful, iaitu wujudnya perasaan tolong menolong dan bantu membantu di kalangan ahli usrah dan masyarakat sekelilingnya.Dasar takaful ini merupakan tunjang Iman dan Intipati ukhuwwah sejati.

Secara amnya.. dalam usrah ini dapat menghidupkan budaya nasihat menasihati sesama ahli disamping dapat mengasah kebolehan mereka dalam memberi pandangan dan idea mereka ketika dalam komuniti usrah serta melahirkan mereka yang mempunyai ilmu yang tepat dan sahih, memahami fikrah dan matlamat perjuangan dan sanggup berkorban. melalui proses ini juga Usrah dilihat berperanan besar dalam mendominasikan biah solehah di kampus. sepertimana yang kita tahu, kampus adalah temapat persinggahan untuk mengutip mutiara ilmu dan pengalaman.Maka di sini memnuntut generasi Mahasiswa supaya sentiasa bersedia dengan disiplin yang diceburi disamping mendekatkan diri dengan pelbagai soft skills seperti problem solving, communication skills dan charismatics. Tambah pula kita sebagai ulama' muda harus lebih berperanan sebagai duta penyelamat dan kasih sayang kepada masyarakat dan selalu menjadikan diri kita sentiasa terpanggil untuk menyumbang sesuatu kepada masyarakat tidak kira kecil ataupun besar sumbangan tersebut inilah yang patut diimpikan oleh semua mata rantai perjuangan Islam.

Konklusinya, dapat dirungkaikan di sini bahawa Usrah memberi suatu kepentingan kepada kita bahawa pentingnya kita mengadakan dan mengikuti Usrah. Dengan Usrah dapat memupuk rasa kasih dan sayang serta kemesraan kerana Agama Allah berdiri di atas Ribatil Iman
dan ukhuwwah. Ia juga mendidik hati-hati mereka yang bersama dalam Usrah supaya menjadi insan yang bertanggungjawab terhadap Agama Islam bermula dari diri keluarga dan Masyarakat sehinggalah mengunjur kepada pembinaan Daulah Islamiyyah disamping dapat mengukuhkan Ukhuwwah Islamiyyah. InsyaAllah... Semoga Ia terlaksana dengan jayanya..


Dipetik daripada blog Pengerusi HELWI PMKIAS

Friday, June 4, 2010

Presiden PMKIAS Mengetuai GIMIK

20 Mac 2010 yang lalu menyaksikan penubuhan Gabungan Ikhwah Mahasiswa Islam Kelantan (GIMIK) yang terhasil daripada program Kem Kepimpinan Mahasiswa Islam Kelantan 2010 (KAMIE'10) yang bertempat di Sweet Beach Resort, Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. Al-Akh Khairul Anam Razali selaku Presiden PMKIAS telah diberi penghormatan untuk mengetuai GIMIK ini yang turut dibantu pimpinan-pimpinan lain-lain IPT. Ulasan berkaitan program tersebut serta penubuhan GIMIK boleh dirujuk DI SINI dan DI SINI.

.:PMKIAS:.

.:PMKIAS:.