Saturday, February 18, 2012

Kalam Mantan Pengerusi Helwi PMKIAS sesi 2011/2012

Al-Ukht Juniza Bt Jumaat

بسم الله الرحمن الرحيم.....

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillahirabbil a’lamin,bersyukur ke hadrat Illahi dengan limpah dan kurnianya, Allah masih memberikan nikmat islam dan iman kepada hamba-hamba yang dikehendaki. Ucapan syukur kepadaNYa juga saya dahulukan kerana memberi peluang kepada saya mencoret sedikit kalam sebagai perkongsian bersama. Sejuta kemaafan sekiranya tinta ini sukar difahami dan maksud tidak kesampaian.

Setahun telah berlalu saf kepimpinan PMKIAS sesi 2011/2012, akhirnya saf ini telah beralih ke tangan yang lebih layak seadanya. Inilah wadah perjuangan penyambung risalah Rasul. Tidak lain dan tidak bukan tampuk ini hanyalah sekadar wasilah menuju Mardhatillah. Bukanlah pangkat semata, bukan juga mengejar keselesaan populariti insan duniawi falna’uzubillah. Menjadi seorang pemimpin bukan sesuatu yang mudah. Pengorbanan, ikatan ukhuwwah dan pergantungan kepada yang kuasa adalah elemen yang sangat diperlukan. Tanpanya maka tidak mampu untuk berdiri dalam menempuh mehnah pimpinan. Inilah kunci kejayaan seorang menteri.

Alhamdulillah sekali lagi saya tuturkan kerana selama saya berada di saf kepimpinan Allah mengizinkan kami melaksanakan beberapa aktiviti bagi menjalankan agenda dakwah di KIAS mahupun di luar KIAS. Inilah sebahagian daripada tarbiah Allah demi menjulang kalimah EsaNYA. Agenda ini selaras dengan tema PMKIAS yang telah kami bawa iaitu “ Kemantapan Tarbiah Bertunjangkan Al-Quran Pemangkin Keizzahan Mahasiswa Islam.” Pelbagai bentuk aktiviti yang telah terlaksana antaranya ialah HITEK 11’,Kembara Mahasiswa, program menghidupkan Biah solehah, usrah dan sebagainya. Sekiranya dihayati , program-program seperti ini banyak memberi impak kepada mahasiswa KIAS serta masyarakat setempat. Program inilah yang banyak memberi latihan kepada seorang yang bergelar da’ie sebelum turun ke medan yang sebenar. Bukanlah sekadar berilmu sahaja namun dapat dipraktikkan melalui program-program anjuran PMKIAS.

Sebelum mengakhiri coretan ini, saya ingin memohon seribu kemaafan kepada semua warga KIAS dan pimpinan baru di atas segala kedhaifan kami mengendalikan persatuan ini. Setiap perkara yang berlaku dalam PMKIAS sebenarnya telah termaktub di luh mahfuz Allah. Itulah tanda kasihNYA kepada hamba dalam memperingatkan kami tentang adanya kuasa yang lebih besar berbanding kuasa kami sebagai pimpinan. Saya sangat bersyukur kerana dipilih Allah dalam menjalankan amanah ini dan mengharap maghfirah Allah melimpah kami selama mana menjalankan tugasan. Tiada yang lebih penting bagi seorang pemimpin melainkan ampunan dari Allah.

Kepada saf kepimpinan yang baru, ingatlah bahawasanya perjalanan anda masih lagi jauh. Ambillah masa ini dalam memperbaiki PMKIAS agar jadi lebih baik,lebih kreatif dan inovatif. Pekalah dalam semua keadaan di KIAS atau di luar KIAS dan bertaqwalah kepada Allah. Serahkan setiap urusan kita kepada Allah. Akhirul kalam, semoga Allah merahmati dan menaungi barisan pimpinan PMKIAS 2012.

Wallahu a’lam…


No comments:

Post a Comment

.:PMKIAS:.

.:PMKIAS:.