Saturday, February 12, 2011

PEMBEBASAN MESIR !!!

Alhamdulillah setinggi-tinggi syukur ke hadrat Illahi. Dengan nikmat Iman dan nikmat Islam yang telah dianugerahkan olehNya, akhirnya masa yang dinanti-nanti telah pun tiba. Dimana, usaha pemerintahan 30 tahun Hosni Mubarak dapat digulingkan.

Akhirnya Mesir kini sunyi selepas 18 hari berperang mempertahankan sekali gus terus cuba mengekalkan agar mesir terus menjadi sebuah Negara Islam walaupun risiko kehilangan nyawa yang bakal dihadapi adalah sangat tinggi. Sekalipun itu bukanlah alasan untuk berhenti berjuang tapi itulah kunci utama untuk mereka berjuang.

Hari ini rakyat di bumi anbiya’ itu sudah mampu tersenyum dengan penggulingan tersebut dan mereka telah berjaya membuka Mata Dunia, kelelahan dalam perjuangan yang tulus pasti diakhiri dengan natijah yang telah Allah tetapkan. Hanya tinggal YAKIN dan TIDAK SEKALI-KALI BERPUTUS ASA.

Hal ini sepatutnya menjadi iktibar buat muda mudi yang meneruskan perjuangan wasilah dakwah kepada Allah. Mesti berani bersuara dan sentiasa bersedia walaupun berhadapan dengan risiko yang tinggi tidak lain dan tidak bukan hanya ingin melihat hak rakyat dan agama terbela.

Thursday, February 10, 2011

.:: Ucapan Dasar Presiden PMKIAS sesi 2010/2011 ::.


Teks Ucapan Presiden

Muktamar Sanawi Kali ke-15

Persatuan Mahasiswa Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (PMKIAS)

Sesi 2010/2011

Tema : “Al-Quran Dijunjung Ukhuwwah Dijana Pemangkin Mahasiswa Rabani”

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh……

Yang Berbahagia Pengerusi Muktamar,

Yabrs Dato’ Dr. Johari Bin Mat

(Ketua Eksekutif KIAS)

Ybrs Dr. Idris Bin Awang

(Timb. Ketua Eksekutif Hal Ehwal Akademik KIAS)

Ybrs. Dr Hilaluddin Bin Abdullah

(Timb. Ketua Eksekutif Hal Ehwal Pelajar)

Ybrs. Dr. Yaakob Bin Yusoff

(Pendaftar KIAS)

Ybrs. Pegawai-Pegawai Eksekutif KIAS

Ybrs. Ketua-Ketua Jabatan

Ybhg Pensyarah-Pensyarah dan Kakitangan KIAS,

Sidang Hadirin yang dirahmati Allah Taala.

Firman Allah Taala

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya : Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri. ( Surah Fussilat ayat 33)

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan yang menggerakan alam ciptaannya , yang telah menyusun atur perjalanan alam dengan seindah rupa, Dialah pemberi Nikmat sekalian Alam seisinya dan dialah mengeluarkan kegelapan kepada sinar cahaya yang menganugerahkan Nikmat Islam dan Iman kepada kita semua.Selawat dan salam keatas junjungan yang tercinta Kekasih Allah , penghulu sekalian Anbiya dan Rasulnya Nabi Muhammad S.A.W pemimpin Terulung yang telah memberikan sinaran baru kepada umat manusia serta Keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya pejuang –pejuang Allah yang telah mengotakan janji mereka di hadapan Allah taala dan yang sedang menunggu saat bertemu denganNya, Bersyukur kita kehadarat Ilahi, dengan limpah dan dan kurnianNya, kita dipertemukan lagi pada pagi yang penuh barakah ini di dalam Muktamar Sanawi PMKIAS kali ke-15

“Al-Quran Dijunjung Ukhuwwah Dijana Pemangkin Mahasiswa Rabbani “

Hadirin Hadirat sekalian,

Keunggulan Islam terletak pada individu muslim yang berpegang teguh pada Al-Quran dan Sunnah Ini dibuktikan dengan keunggulan Zaman salafussoleh telah melahirkan sahabat-sahabat yang menjadikan kehidupan mereka hanya untuk Islam , hidup dan mati mereka hanya dikorbankan untuk agama yang tercinta. Ini Berdasarkan Hadis Rasulullah yang diriwayatkan daripada Nu’man Bin Basyir Radialaahu an huma

خير أمتي قرني ، ثم الذين يلونهم ، ثم الذين يلونهم الخ .......

رواه أحمد وابن حبان في" صحيحه"

Keizzahan generasi Sahabat berpaksikan kekuatan dan pegangan Al-Quran yang dijunjung dan dijulang untuk membawa obor-obor Islam ke pelusuk dunia , tarbiah yang dicurahkan Rasulullah kepada sahabatnya sangat berkesan dan mencerminkan keperibadian mereka dalam menjalankan amanah sebagai Khalifah Allah di muka bumi. Inilah menjadi sumber kekuatan Umat Islam yang mesti dijadikan panduan dalam mempertahankan ketuanan Islam.

Kecemerlangan generasi sahabat juga dapat ditunjukkan dengan kekuatan Ukhuwwah yang di bina sehingga melahirkan kebersamaan dalam mengukuhkan kekuatan yang dijana bersama, sehingga menghasilkan suatu natijah yang terbaik dalam menyampaikan risalah Islam, Mereka saling cinta mencintai diatas satu akidah yang sama , satu perjuangan yang sama walau di tempuh berbagai dugaan dan cabaran semata-mata menguji keimanan dan ukhuwwah diantara mereka. Inilah yang menjadi simbol utama kejayaan mereka dalam mengembangkan risalah Islam. Sebagaimana Firman Allah taala yang di turunkan kepada Kaum Ansar dan muhajirin semasa peristiwa Hijraturrasul :

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (9)

Maksudnya : Dan orang-orang yang Telah menempati kota Madinah dan Telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) 'mencintai' orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka Itulah orang orang yang beruntung (surah Al-Hasyr ayat 9)

Hadirin dan Hadirat Sekalian,

Sejarah telah membuktikan kita bahawa golongan yang mempertahankan Islam di zaman Rasulullah adalah golongan pemuda yang menjadi tunggak dalam perjuangan , ketika wahyu di turunkan kepada baginda, umurnya baru menjangkau empat puluh tahun. Ia merupakan peringkat kesempurnaan pemuda. Abu Bakar lebih muda daripada baginda s.a.w sebanyak tiga tahun. Umar bin al-Khattab, ketika memeluk Islam berumur dua puluh tujuh tahun. Usman bin Affan lebih muda daripada Rasulullah s.a.w. manakala Ali pula adalah yang termuda di kalangan mereka semua. Begitu juga Abdullah bin Mas’ud, Said bin Zaid, Abdul Rahman bin Auf, Bilal bin Rabah, Mus’ab bin ‘Umair dan berpuluh-puluh bahkan beratus-ratus lagi dari kalangan para sahabat semuanya adalah pemuda.

Para pemuda generasi pertama dan orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka adalah orang-orang yang telah menjulang bendera “dakwah kepada Allah” dan pengibar panji-panji jihad... lalu Allah memberikan kemenangan yang besar dengan tertegaknya daulah Islamiah melalui tangan mereka. Tewasnya dua kerajaan besar dan kuat iaitu Rom dan Parsi, begitu juga tunduknya Syam, Mesir, Iraq, Tripoli dan Utara Afrika di bawah keadilan Islam adalah melalui tangan para pemuda. Semuanya ini sempurna dalam tempoh masa 35 tahun di zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin.

Ini menjadi bukti kejayaan Tarbiyyah yang telah diberikan oleh Rasulullah kepada sahabat-sahabatnya. Hadis Rasulullah S.A.W sebagaimana diriwaayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Ya’la :

إن الله ليعجب من الشباب الذي ليس له صبوة

Maksudnya: Sesungguhnya Allah sangat kagum pada pemuda yang tidak ada baginya masa muda

(untuk bergembira dan bersuka-suka kerana masa mudanya dipenuhi dengan beribadat kepada Allah).

Ciri-ciri pemuda yang digambarkan Rasulullah pada hadith ini benar-benar berada di sanubari para sahabat-sahabat Baginda inilah membuktikan mereka merupakan sebaik-baik kurun dan mereka adalah generasi Rabbani. Disinilah menjadi Impian dan harapan PMKIAS untuk mencetak dan melahirkan Mahasiswa yang mempunyai penyamaan sebagaimana generasi Sahabat Rasulullah yang diimpikan . Atas kesedaran inilah PMKIAS sesi 2010/2011 telah sebulat suara untuk memberi nafas baru kepada tema PMKIAS sesi ini iaitu “Al-Quran Dijunjung Ukhuwwah Dijana Pemangkin Mahasiswa Rabbani”

Al-Quran Dasar utama Panduan Mahasiswa

Hadirin dan Hadirat Sekalian,

Al-Quran dan Sunnah adalah dasar utama sesebuah kerajaan Islam , Ia merupakan panduan dan rujukan yang penting dalam melaksana dan merangka sistem pentadbiran Negara . Atas kerangka inilah (PMKIAS) menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai asas dan matlamat dalam pergerakan dan tindakan yang meyakini bahawa cara hidup Islam sahajalah yang dapat memberikan kesejahteraan, kepuasan, ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. PMKIAS juga meyakini manhaj Islam perlu di gerakkan dalam setiap aspek dan tindakan mahasiswa sama ada ilmu, ekonomi, politik, masyarakat dan seluruhnya supaya dapat mencapai kehidupan yang diredhai oleh Allah s.w.t.

Dalam Usaha mencapai dan memastikan gerak kerja ini , PMKIAS telah menyusun beberapa program berbentuk Tarbiah berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Ini dibuktikan dengan program Ruhul Jadid Camp dan Kem Citra Asertif dengan kerjasama HEP dan PMKIAS telah dilaksanakan untuk memastikan Mahasiswa dapat merialisasikan Ilmu yang dipelajari bukan sahaja hebat berteori di bilik kuliah tetapi dapat menjadi penyokong dan pendokong kepada gerak kerja menyampaikan Risalah Islam.

Selain itu bagi meneruskan kesinambungan pentarbiahan Mahasiswa KIAS , PMKIAS dengan kerjasama HEP telah berusaha untuk mewujudkan suatu ruangan kepada Mahasiswa untuk mereka membina jati dengan lebih tersusun, inilah menjadi kelangsungan dalam penerusan tarbiah apabila muzakarah berkelompok atau lebih jelas dengan program usrah dijadikan sebagai program tetap bagi Mahasiswa KIAS , di medan inilah lahirnya kepimpinan yang menjadi mata rantai dalam perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah.

Hadirin dan Hadirat sekalian,

Ilmu merupakan penyeluh kehidupan yang menerangi kehidupan insan, tanpa ilmu yang cukup seseorang tidak akan dapat melaksanakan amanah dengan lebih baik. Islam adalah agama yang sangat mementingkan ilmu. Ini dibuktikan dengan penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah S.A.W adalah berkaitan dalam ruang lingkup yang berkaitan dengan kaedah untuk mendapatkan ilmu.Disinilah menjadi suatu harapan bagi PMKIAS untuk melahirkan Mahasiswa yang intelektual dan berwawasan. Untuk merealisasikan hasrat ini PMKIAS telah mengorak langkah dengan memberi pengiktirafan kepada Mahasiswa yang cemerlang di dalam pelajarannya dengan mengadakan majlis Anugerah kecemerlangan dan juga diselitkan dengan pengisian motivasi ilmiah yang disampaikan oleh pakar motivasi terkenal.

Selain itu bagi menunjukkan kesungguhan PMKIAS dalam melahirkan mahasiswa yang cemerlang, PMKIAS telah mengadakan program BULAN MEMBACA KIAS (BMK 10) yang diadakan hampir sebulan dengan kerjasama pihak perpustakaan program ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik.Inilah menjadi sumber kekuatan Mahasiswa dalam meningkatkan keupayaan diri untuk lebih maju kehadapan dengan berpaksikan Al-Quran dan Sunnah yang dijadikan panduan dalam kehidupan.

Ukhuwwah Teras keunggulan Mahasiswa

Kekuatan dan keizzahan Islam adalah lambang kebanggan umat Islam , Ia akan dirasai apabila umat Islam bersatu dari segi pemikiran dan amal dalam tindak tanduk kehidupan mereka . Kehidupan yang mementingkan diri sendiri adalah kehidupan yang sementara dan membebankan individu. Ia juga sangat jauh dari rahmat Allah Taala . Sesuailah hadis Rasulullah S.A.W yang menyatakan bahawa :

المسلم للمسلم كالبنيان المرصوص يشد بعضه بعضا

Maksudnya : Bandingan antara muslim dengan muslim yang lain samalah seperti binaan yang tersusun kukuh sebahagiannya memperkukuh yang lain (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Atas kesedaran ini PMKIAS telah meletakkan Ukhuwwah adalah perkara asas yang perlu dibaiki bagi mewujudkan suatu keadaan yang harmoni serta dilimpahi rahmat dan kasih sayang dari Allah Taala. Inilah menjadi pendekatan kami diawal tampuk kepimpinan untuk menjalinkan hubungan baik dengan pihak pentadbiran dengan mengadakan Ramah Mesra bersama semua staf KIAS disusuli pula dengan pertemuan semua mahasiswa dalam majlis pengenalan Pimpinan dan ramah mesra bersama mahasiswa . Ukhuwwah yang ingin dijalin adalah sebuah nilai yang sangat tinggi di sisi Allah , disitulah menjadi harapan kami agar PMKIAS dapat menjana Ukhuwwah dengan baik bagi merialisasikan matlamat yang ingin dicapai sebagaimana gambaran rasulullah terhadap orang-orang Mukmin dalam sebuah Hadisnya yang diriwayatkan oleh Nu’man Bin Basyir r.a :

ترى المؤمنين في تراحمهم وتوادهم وتعاطفهم كمثل الجسد إذا اشتكى عضوا تداعى له سائر الجسد بالسهر والحمى

Maksudnya : Kamu melihat orang-orang mukmin dalam kasih mengasihi , cinta mencintai dan berbelas kasihan, adalah seperti sebuah badan, apabila suatu anggota mengadu sakit, maka terikutlah sakit seluruh badan dengan berjaga malam dan demam (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadirin dan Hadirat Sekalian,

Mahasiswa adalah pencetus transformasi ummah, Fenomena yang berlaku mutakhir ini menggambarkan kepada kita mengenai keadaan masyarakat Islam yang tidak terlepas dengan masalah sosial, keruntuhan akhlak dan kejatuhan moral , semua ini berlaku disebabkan masyarakat kita meninggalkan syariat Islam dalam kehidupan mereka, atas tanggungjawab yang digalas ini PMKIAS dengan kerjasama pentadbiran KIAS telah merancang dan melaksanakan program untuk mendekati masyarakat sekitar dengan mengadakan HARI TERBUKA KIAS HITEK, disinilah medan mahasiswa menabur bakti kepada masyarakat dan menunjukkan qudwah yang terbaik dalam menjalinkan Silaturrahim dan ukhuwwah yang dibina sesama muslim.

Tidak cukup dengan hanya bermain digelanggang sendiri, PMKIAS telah mengambil pendekatan yang berani dengan kesedaran ukhuwwah yang dibina sesama muslim , maka Dakwah mendekati muda mudi menjadi misi PMKIAS yang telah dilaksanakan dengan jayanya . PMKIAS telah menganjurkan dakwah turun ke lapangan kesemua tempat yang menjadi tarikan muda mudi, KBMALL, sambutan malam kemerdekaan,malam tahun baru bersempena konsert Wali Band telah dijadikan peluang untuk berjumpa dengan muda mudi bagi membina ukhuwwah sesama insan diatas satu akidah dan satu perjuangan dalam mengejar keredaan ilahi. Inilah yang menjadi impian PMKIAS untuk memberikan sumbangan kepada Islam dalam segenap aspek dan lapisan masyarakat supaya dengan ini tecapailah hasrat PMKIAS untuk berada dikalangan kelompok-kelompok hamba Allah taala yang telah mengotakan janjinya sebagai firmanNya :

مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا

Maksudnya : Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang Telah mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur(syahid). dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu(syahid) dan mereka tidak merobah (janjinya),

Hadirin dan hadirat sekalian

Menyedari PMKIAS merupakan suara induk kepada mahasiswa KIAS, aspek kebajikan sama sekali tidak diabaikan. Oleh itu, PMKIAS telah cuba menyelesaikan permasalahan yang timbul dengan sebaik mungkin dan membincangkan hal-hal berkaitan ke peringkat sepatutnya. PMKIAS tidak menafikan bahawa hal yang berkaitan hak dan kebajikan Mahasiswa masih belum mencapai tahap yang maksimun dalam merialisasikan kebajikan mahasiswa agenda utama. Namun kami tetap berganding bahu dengan pihak pentadbiran KIAS di dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa KIAS

Sebagai persatuan induk kami turut bekerjasama dengan pihak HEP, penyelia asrama dan JTK dalam meneruskan agenda kebajikan terhadap ahli persatuan samada dari sudut tenaga mahupun material seperti menghantar pelajar ke hospital untuk kes-kes kecemasan. Kami juga mewujudkan Tabung Kebajikan PMKIAS bagi membantu mahasiswa yang mengalami kemalangan, kebakaran dan kematian Ibu bapa di samping melancarkan kutipan derma kilat

Semua perkara ini adalah unsur dan elemen yang mengikat ukhuwwah sesama kita. PMKIAS telah berusaha untuk memperbaiki hubungan dengan semua pihak terutama hubungan sesama mahasiswa yang penting dalam mewujudkan kesatuan gerak kerja , dari kerana itu, untuk merialisasikan matlamat memperjuangkan hak kebajikan, semua perkara telah dititik beratkan dan menjadi suatu amanah yang mesti dipikul oleh semua pihak samada PMKIAS, pentadbiran, dan mahasiswa, moga-moga ia akan menghasilkan natijah yang memberi manfaat kepada semua pihak selaras dengan penjanaan Ukhuwwah yang ditekan oleh kami dalam memegang tampuk kepimpianan mahasiswa.

Harapan kepada PMKIAS Sesi 2011/2012

“Patah tumbuh hilang berganti” begitulah ungkapan yang dikaitkan apabila tiba ke penghujung kepimpinan dalam mengemudi bahtera PMKIAS diatas landasan yang benar , Dalam suka dan duka belayar di lautan yang dalam sepastinya disana pelbagai mehnah dan tribulasi yang diharungi. Kepada saff pimpinan yang akan meneruskan perjuangan demi mengejar cita-cita murni iaitu mardhotillah, kami menaruh harapan yang besar agar tidak mengulangi kesilapan yang kami lakukan sepanjang taklifan kepimpinan PMKIAS 2010/2011 sebaliknya menjadikan sempadan buat saff pimpinan baru. Kami sedar serta yakin bahawa asas kepada kekuatan untuk memimpin adalah iman kepada Allah S.W.T.

Disamping itu juga , perkasakanlah Ukhuwwah dalam mengemudi bahtera PMKIAS kerana ianya akan meghasilkan suatu kesatuan yang dapat melancarkan agenda yang dibawa. Sifat Salamtus Sodri,Musawamah dan Ithar hendaklah dijadikan tabiat dalam melaksanakan taklifan yang diamanahkan. Insya Allah berbekalkan perkara di atas, segala perancangan akan mendapat pertolongan daripada Allah Taala

Selain itu, pimpinan PMKIAS baru perlu mempunyai jati diri dan identity sendiri serta berprinsip selari dengan dasar Al-Quran dan As-Sunnah. Usah pedulikan tohmahan-tohmahan yang dilempar tetapi terus maju menuju mardhotillah.Biarlah diri kita tidak disanjung-sanjung oleh penghuni dinia tetapi kita disebut-sebut dan ditunggu-tunggu oleh penghuni langit.

Dikesempatan ini, saya mewakili saff kepimpinan PMKIAS sesi 2010/2011 memohon jutaan kemaafan diatas segala kedhoifan dan kesilapan yang telah kami lakukan sepanjang tampuk kepimpinan kami. Kepada Allah sahajalah, kami serahkan segala-galanya.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YABrs Dato’ Dr. Johari Bin Mat kerana sudi menghadirkan diri dan seterusnya merasmikan Muktamar Sanawi PMKIAS kali ke-15. Begitu juga kepada dif-dif kehormat dan para sahabat dan sahabiah sekalian, terima kasih dia atas kehadiran anda semua akan mencorakkan muktamar pada tahun ini.

Selamat bermuktamar

.:PMKIAS:.

.:PMKIAS:.